Iman  Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang  sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini :
Pertama,  kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau  ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua  orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang  bernas tetapi tidak diterimanya.Orang sombong seumpama ini, menghendaki  dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak  ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta  diberi layanan mulia.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak  akan masuk neraka, orang yang di dalam hatinya ada seberat sebiji sawi  darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada  seberat biji sawi darinya sombong.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Keduanya  kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang  merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain  sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti  mereka.Sedangkan mereka terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah  SAW mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud:
“Bahawa  siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti sudah  tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.”
Jika  kita bersifat seperti ini, menghina orang yang tidak bersembahyang atau  apabila orang mengerjakan maksiat, lantas menggelengkan kepala dan  terdetik di dalam hati, “Apa nak jadi dengan kamu semua. Mengapa tidak  alim dan warak seperti aku,” maka kita adalah dalam kategori orang yang  berpenyakit sombong. Oleh itu, bersegeralah bertaubat atas kejelekan  akhlak.
Perkara  ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan  keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut  nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau  hebat.Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang  dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan  keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia  dikasihi tuhan.
Mereka  rakus melakukan apa saja termasuk membunuh golongan lemah kerana  keegoan menganggap orang lain tidak semulia mereka. Seandainya kita  zalim, bangga dengan status keturunan, maka kesombongan itu sama dengan  kesombongan kaum Bani Israel yang dilaknat tuhan.
Perkara  keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik  dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti  merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi  gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.Sifat  sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat  kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar,  kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.Keenam,  sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli  kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca  seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh  dihempap badan dengan batu dan besi.
Akhirnya yang ketujuh kata Imam  Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di  belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid  yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak  lut ditetak dan dijilat api.
Justeru,kita hendaklah memeriksa diri sama ada  tujuh perkara yang membawa kepada penyakit sombong ada pada kita atau  tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong hanya  akan memakan diri.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang  yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari  kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia,  kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari  Abu Hurairah)
-QiS- 
No comments:
Post a Comment
jangan lupa share kalau dirasakan bermanfaat. ^_^
erm, tolong jgn 'sign as' anonymous when u drop a comment in my blog. keterujaan ana membalas komen jadi pudar.ehehh