"Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah,
  bermusuhan  kerana Allah, cinta kerana Allah 
dan membenci kerana Allah." 
Hadis  Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a
Mengapakah teruna memilih gadis jelita? Kata orang, gadis seperti ini menyejukkan serta menggembirakan hati. Betulkah begitu?
Gadis itu pada asasnya bererti wanita yang belum bernikah.
Walaupun begitu, perkataan 'gadis' juga digunakan bagi menggambarkan kesucian seseorang wanita.
Wanita yang sudah ternoda sebelum berkahwin digelar 'sudah tiada gadis' atau 'sudah tiada dara'.
Umumnya,   pengertian pertama iaitu wanita yang belum bernikah digunakan secara   formal sedangkan yang kedua itu adalah gelaran yang diberikan secara   berbisik-bisik.
Alam gadis merupakan alam yang paling manis bagi seseorang wanita.
Semasa   inilah seseorang wanita itu akan mencapai tahap mekarnya dan   keayuannya. Pada masa inilah wanita itu mula dipanggil 'bergetah' jika   kita hendak meminjam bidalan Soekarno.
Bila dipandang, banyak hati lelaki akan tergoda.
Ada   gadis yang 'boleh tahan' dan ada gadis yang 'tak boleh tahan'. Gadis   yang 'boleh tahan' biasanya dianggap manis tapi tidaklah jelita.
Yang   'tak boleh tahan' pula adalah gadis yang sungguh cantik menawan. Ramai   lelaki yang tergoda kepada gadis 'tak boleh tahan' ini apatah lagi  jika  gadis itu sendiri pandai pula menggoda dan mempermainkan perasaan   lelaki.
Tidak dapat dinafikan bahawa lelaki teruna sememangnya tertarik pada rupa dan bentuk fizikal gadis.
Itulah yang menjadi asas mengapa mereka lebih memberi perhatian.
Ada   orang berpendapat bahawa gadis yang cantik lebih beruntung kerana   lelaki melayaninya dengan lebih baik, mesra dan lemah-lembut.
"Janganlah   sekali-kali seorang lelaki berduaan saja dengan seorang wanita,   melainkan dengan didampingi seorang muhrim." (Hadis riwayat Bukhari dari   Ibnu Abbas r.a.)
Biasanya teruna akan terpikat dan  terpesona  dengan kecantikan si gadis dahulu, kemudian barulah si teruna   menyelidiki perangai si gadis.
Ini menyebabkan ramai  lelaki  terperangkap, menyesal atau menderita, terutamanya bila sudah  terlanjur  dan tidak boleh berundur lagi sedangkan baru tahu bahawa si  gadis itu  teruk perangainya atau sudah ternoda.
Walaupun  'mata yang belum  berisi pengalaman' itu tertarik pada rupa yang cantik,  sebenarnya jodoh  bagi hati adalah hati juga, bukannya rupa.
Maksudnya pada akhirnya gadis yang hatinya paling suci sesuci hatinyalah yang dipilih oleh teruna untuk dikahwini.
Berikut adalah petua-petua sekiranya anda ingin memilih gadis jelita menjadi isteri anda:
Elakkan Dari Berkawan Dengannya
Dengan   merapati dan berkawan dengan si gadis, kecantikan hati ini sebenarnya   sukar untuk dinilai oleh lelaki. Selalunya yang dilihat semuanya 'baik,   sopan dan elok' apatah lagi pada masa itu sang teruna sedang mahu, dia   hanya nampak yang elok. Si gadis pula mungkin hanya berpura-pura jadi   baik dan sopan untuk memikat teruna. Itulah sebabnya ada yang   membidalkan bahawa:
'Yang bercahaya tidak semestinya emas'  dan  'yang cantik tidaklah semestinya permata'. Maka elakkan dari  berkawan  dengannya untuk mengelakkan anda dari terpesona dan terpedaya.
Lakukan Risikan Secara Rahsia
Kecantikan hati biasanya boleh dinilai oleh pengamatan rahsia si teruna bersama keluarga teruna terhadap si gadis.
Risikan rahsia ini adalah untuk mengetahui bagaimanakah tingkahlaku si gadis itu bila dia berada bersama keluarganya sendiri.
Adakah   si gadis dari jenis yang suka berjalan, bergaul bebas, atau suka   menolong ibunya memasak, rajin berkemas dan taat dalam beribadat akan   dapat ditentukan dengan lebih jelas.
Pihak teruna juga  boleh  mengetahui perihal moral si gadis dengan menyelidiki ke manakah  si gadis  itu suka pergi di hujung minggu atau di masa lapangnya.
Jika dia gemar pergi ke tempat yang kurang baik, besar kemungkinan dia mempunyai sifat-sifat yang kurang baik pula.
Walaupun   pada asasnya cara menyelidik begitu, atau dipanggil 'merisik' ini  tidak  begitu disukai oleh si gadis sendiri, ia adalah jalan yang  dianggap  lebih baik dari cara berkawan dengan si gadis, membawanya ke  mana suka,  dan 'menyelidik' dengan bertanya pada gadis itu atau hasil  memperhatikan  tingkah lakunya di depan mata.
Cari Yang Pandai Mengurus Rumahtangga
Pada   zaman sekarang, masa remaja si gadis bererti masa sebagai pelajar   sekolah menengah, pra-universiti dan pusat pengajian tinggi.
Bagi   gadis-gadis ini, masa untuk mereka belajar menjadi 'wanita' dari ibu   adalah amat terhad, jika ada, praktikannya hanya dalam jangkamasa   pendek. Kesempatan untuk berada di dapur amatlah terhad pada hujung   minggu serta semasa cuti.
Akibatnya, semakin ramai gadis yang berorientasikan kerja makan gaji dan tidak berorientasikan mengurus rumahtangga.
Cari Yang Hormat Kepada Orang Tua
Selidiklah apakah dia gadis yang tahu menghormati orang tua.
Ini penting kerana dia nanti akan bersua, bertandang ataupun duduk bersama ibu bapa anda.
Walau   betapa cantik pun dia, jika dia tidak menghormati ibu dan bapa   mertuanya, dia akan menyebabkan anda menjadi serba-salah dalam menangani   kehidupan anda.
Cari Yang Pandai Menjaga Kehormatan
Hal   ini juga dapat diperhatikan di kalangan gadis-gadis yang tidak begitu   berjaya dalam pelajaran. Lebih ramai yang suka bekerja makan gaji dari   membantu ibu di rumah atas alasan meringankan beban keluarga.
Bagi gadis yang mudah 'lupa' masa inilah mereka akan jadi rosak.
Mereka   akan keluar dengan lelaki tanpa segan silu, mula memakai pakaian yang   ketat dan menjolok mata serta belajar berbagai cara dari rakan sebaya   untuk memikat lelaki.
lbubapa yang tidak mengawasi gerak-geri anak gadisnya mungkin akan menyebabkan gadis itu menjadi gadis murahan.
Cari Yang Tidak Bebas Dengan Lelaki
Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang sengaja tidak menghantar anak perempuannya ke sekolah.
Takut nanti jadi perempuan jahat akibat dapat bergaul dengan lelaki secara bebas.
Bila zaman semakin moden, pemikiran cara ini dianggap sudah usang.
Ramai   pula menganggap adalah lebih baik bagi wanita bersekolah asalkan saja   di sekolah dia dilengkapi dengan input tatasusila dan adat apatah lagi   agama.
Cari Yang Didikan Agamanya Cukup
Beredarnya  zaman  perlu mengambil kira faktor sekeliling si gadis. Jelas pada kita  bahawa  cara hidup gadis sekarang sudah jauh berbeza berbanding gadis  satu atau  dua dekad silam.
Namun, dari sudut nalurinya adalah sama saja. Zaman gadis adalah zaman mencari identiti dan cuba mengekalkan identiti itu.
Jika terdedah dia kepada yang buruk maka buruklah jadinya.
Walaupun   begitu, gadis yang mendapat didikan yang baik besar kemungkinan akan   menjadi wanita yang berguna kepada negara dan agama malah boleh menjadi   contoh teladan sama ada kepada wanita mahupun lelaki.
Cari Yang Berpegang Teguh Pada Suruhan Agama
Ada   empat sebab utama mengapa teruna memilih seseorang gadis, kerana   kecantikannya, kerana hartanya, kerana keserasian taraf dan kerana   agama.
Yang akan membahagiakan ialah memilih gadis yang beragama.
Dimanakah letaknya nilai gadis yang cantik? Letaknya ialah pada keimanan gadis itu.
Jika   dia cantik dan dia pula beriman, berharta dan setaraf pula, maka  dialah  yang masuk ke dalam kategori gadis yang 'tak boleh tahan'.
Tapi sedarlah, dia akan memilih lelaki yang baik-baik pula!